Thursday, June 04, 2009

Selepas Nakbah..Naksah

Memperingati An-Naksah 42 tahun masjid al-Aqsa dijajah oleh rejim Zionis.

Dalam usaha untuk terus-menerus bersama perjuangan umat Islam Palestin menentang penjajahan rejim Zionis di Israel, PACE ingin mengajak rakyat Malaysia khususnya dan dunia Islam keseluruhannya memperingati tanggal 5 Jun 1967. Tarikh dimana beberapa Negara Arab telah dikalahkan oleh rejim Zionis dalam sebuah peperangan yang dirujuk sebagai perang enam hari (six day war) atau An-Naksah (kekalahan dalam bahasa Arab) yang bermula pada 5 Jun dan berakhir pada 10 Jun 1967.

Negara-negara Arab yang terdiri dari Mesir, Syria dan Jordan mengalami kekalahan yang teruk dan kemusnahan besar-besaran di tangan tentera Israel yang dibantu oleh Amerika Syarikat. Negara-negara Arab Saudi, Iraq, Maghribi, Tunisia, Sudan dan Algeria yang turut menyumbang anggota tentera dan kelengkapan tidak mampu menahan kemaraan tentera zionis. Tidak kurang dari 10,000 tentera Mesir dan 6,000 tentera Syria terbunuh di samping 400 kapalterbang pejuang berjaya dimusnahkan, sebahagian besarnya sedang berada di pengkalan udara Mesir. Hasil dari kekalahan yang memalukan ini Israel telah berjaya menawan lembah Sinai dan jalur Gaza dari Mesir, tanah tinggi Golan dari Syria dan Baitul Maqdis Timur termasuk Kota Lama di mana terdapatnya Masjid al Aqsa dari Jordan. Masjid al-Aqsa yang digempur oleh tentera Zionis telah dicemari dengan pelbagi perbuatan biadap yang tidak selayaknya ke atas mana-mana rumah ibadah dan tempat suci.

Hari ini, sudah 42 tahun rejim Zionis menduduki Baitulmaqddis dan masjid Al-Aqsa. Meskipun Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan Resolusi 242 yang memutuskan Israel mesti berundur semula ke garis hijau (green line) iaitu sempadan negara Palestin yang mereka ambil alih pada tahun 1948, namun Israel tetap berdegil dan sehingga hari ini masih lagi menduduki Tebing Barat dan mengenakan kepungan ke atas Gaza. Perjuangan membebaskan bumi Palestin khususnya masjid Al-Aqsa bukan terletak dibahu rakyat Palestin saja, tetapi menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam, bahkan seluruh masyarakat antarabangsa yang cinta kepada kedamaian dan keamanan.

Umat Islam khususnya diperingatkan bahawa Masjid Al-aqsa adalah kiblat pertama, tanah suci yang ketiga dan merupakan tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Isra’ dan Mikraj. Oleh itu perjuangan pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa harus menjadi agenda utama dan terpenting dalam kehidupan umat Islam.

Walaupun serangan Israel ke atas Gaza (operasi ketenteraan yang dinamakan oleh rejim Zionis dengan kod nama Operasi Cast Lead) selama 22 hari bermula 27 Disember 2008 telah berakhir, ini tidak bermakna tanggungjawab untuk membantu rakyat Palestin telah selesai. Rakyat Gaza terus menderita akibat kepungan Zionis yang direstui oleh sekutu-sekutu utamanya khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Bahkan Negara-negara Arab khususnya Mesir masih mengambil sikap menyebelahi kepentingan entiti Zionis dengan menutup satu-satunya pintu laluan ke Gaza dari negara Mesir iaitu di Rafah. Dalam keadaan terkepung dan menderita kemusnahan akibat serangan biadap Israel, rakyat Palestin di Gaza terus terabai dan dilupakan. Di samping itu rakyat Palestin di Tebing Barat terus ditindas dengan pelbagai tindakan tidak berperikemanusiaan. Ini termasuklah pembinaan tembok pemisah di sepanjang sempadan Tebing Barat yang menyukarkan pergerakan rakyat Palestin.

Kini dengan pemilihan pucuk pimpinan baru rejim Zionis yang diterajui oleh gandingan Benjamin Netanyahu, Ehud Barak dan Avigdor Lebiermen, yang mewakili kumpulan radikal Yahudi membolehkan rejim Zionis tersebut meneruskan lagi agenda pendudukan mereka ke atas wilayah Palestin. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bukan sekadar menolak ‘two state-solution’ (penyelesaian dua negara: Palestin dan Israel) malah terus berusaha untuk menyahudikan Baitul Maqdis. Tanpa menghiraukan langsung ’teguran’ dari Amerika Syarikat-sekutu kuat Israel, Netanyahu meluluskan satu projek pembinaan penempatan Yahudi yang mengakibatkan 60,000 rumah kediaman rakyat Palestin yang terletak di timur Baitul Maqdis akan dimusnahkan. Kenyataan ini telah dikeluarkan sendiri oleh ‘The United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs( OCHA) seperti yang dilaporkan oleh Palestinian Information Center. Inilah sebahagian dari agenda jahat rejim Zionis yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang.

Agenda seterusnya ialah mengyahudikan Masjid Al-Aqsa. Dalam syarahan yang diberi oleh Archbishop Ataullah Hanna, dari Greek Orthodox Jerusalem, dalam satu seminar di Jordan pada 6 Mei, beliau mengatakan: “ The Judaification process is in full swing, and the Zionist excavations carried out under al-Aqsa Mosque of Jerusalem threaten the historic buildings”. Palestinian Information Center juga turut melaporkan pada hari Sabtu, 23 Mei yang lalu, seramai 30 orang pelampau Yahudi telah menyerbu masuk ke perkarangan Masjid al-Aqsa dengan perlindungan dari polis Israel. Mereka membawa besama bendera Israel, memakai baju T yang mempunyai gambar ‘Menorah’ dan kuil yang hendak dibina dan menyanyikan lagu ‘ Al-Aqsa is Ours’ (Al-Aqsa kami yang punya).

Dalam satu laporan lain yang dikeluarkan pada 5 Mei oleh ‘The European Mission in Palestinian territories’ mengatakan bahawa pihak berkuasa Israel juga telah mula membina rumah ibadat Yahudi (synagogue) berdekatan dengan masjid Al-Aqsa. Semua peristiwa yang berlaku sekarang di bumi Palestin khususnya pada masjid Al-Aqsa sepatutnya dapat menyedarkan dan menyatukan umat Islam seluruh dunia untuk bangun dan menentang rejim Zionis.

PACE menyeru negara-negara Islam dan negara-negara Arab khususnya untuk mengambil iktibar dari tragedi an-Naksah atau kekalahan semasa perang enam hari pada tanggal 5 Jun 1967. Umat Islam juga mesti mengambil langkah-langkah proaktif dan berstrategi bagi menamatkan pendudukan dan ke atas bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
PACE menyeru umat Islam supaya bangun dan melipat gandakan usaha untuk membebaskan masjid Al-Aqsa dari terus dicemari dan diancam oleh regim Zionis.
PACE juga mengajak seluruh masyarakat antarabangsa supaya menolak agenda pendudukan zionis yang menafikan hak rakyat Palestin, usaha keji mengyahudikan Baitul Maqdis dan mencemari tempat-tempat suci dan ibadah umat Islam dan agama Kristian yang telah dan sedang berlaku sehingga saat ini. PACE ingin mengingatkan seluruh masyarakat yang prihatin bahawa membiarkan regim perkauman zionis bermaharajalela di Palestin lambat-laun akan membawa implikasi yang buruk ke atas keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat antarabangsa yang berbilang agama.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Pusat Kecemerlangan Palestin